Sabtu, Januari 02, 2010

BN Perlu Elak Berada Dalam Zon Terlalu Selesa, Kata Najib

KOTA KINABALU, 29 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) perlu mengelak daripada berada dalam zon terlalu selesa untuk memastikan anggotanya tidak hilang semangat berjuang ke arah mencapai kejayaan lebih besar lagi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata kejayaan demi kejayaan yang dicatat mungkin menyebabkan timbul anggapan sudah berada pada satu tahap yang baik sekarang sehingga menjadikan BN terlalu selasa dan hilang semangat untuk berjuang lebih gigih lagi."(Kita kena) ubah perasaan (berada) dalam zon terlalu selesa, (jangan lupa) misi dalam perjuangan kita (ialah) untuk bawa parti dan negara kita ke arah kejayaan yang lebih besar pada hari muka nanti," katanya semasa merasmikan Kongres Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di sini, Selasa.
Katanya parti-parti politik seperti BN yang telah lama wujud dan menjadi tunggak kepada satu negara ataupun berjasa dalam memperjuangkan kemerdekaan negara tersebut, boleh hilang kuasa jikalau parti itu tidak melakukan perubahan."Apatah lagi kalau parti itu sudah tidak relevan lagi, dilihat jasanya hanya dalam lipatan buku sejarah, tapi tidak mampu tangani tuntutan perubahan yang diingini rakyat terutamanya generasi muda," tegas beliau.
Najib berkata perjuangan BN dalam mengurus tadbir negara dan juga daripada segi pengurusan politik bukannya mudah ekoran keunikan Malaysia iaitu kepelbagaiannya yang merentasi segala dimensi kehidupan rakyat.
Namun, Perdana Menteri berkata, dalam cabaran mentadbir 13 buah negeri dengan pembahagian kumpulan etnik yang begitu banyak serta mentadbir 13 buah parti komponen BN, perjuangan BN boleh dikatakan berjaya berlandaskan ukuran yang Malaysia dianggap sebuah negara cemerlang selama ini.Beliau berkata BN akan dijadikan sebagai parti yang lebih menarik, lebih 'umph' dan yang mampu melakukan perubahan dan menurutnya sebagai parti yang berkuasa hari ini, BN mampu lakukan semua itu."Yang kita hendak ialah BN dilihat sebagai parti yang menjadi juara rakyat, parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat kerana pembangkang hanya ada satu objektif sahaja dan tiada satu ideologi, di mana objektif tunggal itu jatuhkan BN.
"Apakah parti yang hanya berdiri (berpegang) pada satu tujuan boleh pimpin negara ini? Oleh itu, yakinlah BN "is still the party" dengan syarat kita sentiasa menyegarkan imej BN dan sentiasa dilihat sebagai parti progresif dan dinamik, jangan berbalah antara kita," katanya.
Mengenai PBRS, Najib berkata walaupun PBRS dianggap sebagai parti yang kecil secara relatifnya tetapi parti itu tetap berada di hati sanubari pemimpin-pemimpin BN kerana kesetiaan, komitmen dan kepercayaannya terhadap perjuangan BN tidak pernah luntur selama ini."Saya gembira melihat obor perjuangan BN masih marak membakar di hati tuan-tuan dan puan-puan.
"Saya percaya PBRS akan terus menjadi rakan setia BN kerana saya dapat lihat semangat kuat, dalam kongres ini pun nampak sekali," katanya kepada perwakilan yang hadir, sambil mengucapkan tahniah kepada Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup bagi kepimpinannya.Pada sidang akhbar kemudiannya, Najib berkata setiap parti komponen BN tanpa mengira saiz, sama ada besar atau kecil mempunyai peranan dan sumbangan yang boleh dilakukan oleh mereka.
"Ini disebabkan kalau kita cantumkan sokongan yang boleh disumbangkan melalui setiap parti komponen dalam satu-satu kawasan pilihan raya, bererti akan tambah kekuatan kita (BN).Ada sesetengah tempat, parti komponen tertentu lebih kuat daripada parti lain tapi bagi kawasan lain pula, parti lain lebih kuat daripada parti tadi.
Jadi kalau kita pegang kepada prinsip BN yakni kita sokong sesiapa saja yang dipilih mewakili sebagai calon BN, kita akan dapat sokongan sangat padu," katanya menjawab soalan sama ada saiz sebuah parti itu relevan dalam menyumbang kepada BN.Kurup dalam ucapannya pula berkata dalam usaha melakukan perubahan terhadap PBRS, parti itu sudah sedia untuk meminda perlembagaannya bagi memperkasakan lagi parti supaya dapat memberi kekuatan tambahan kepada BN."Ada orang menyelar parti kita sebagai parti luar bandar...parti kita kecil. Sebenarnya saya gembira kerana mempunyai talian rapat dengan rakyat luar bandar dan merekalah sebenarnya intisari perjuangan PBRS dari mulanya.
"Malah parti kita merupakan salah satu parti pertama bersama dengan BN yang turut sama membina asas perjuangan BN di Sabah sejak tahun 1994, kita telah membuktikan banyak pengorbanan," katanya dan menurutnya PBRS kini mempunyai 79,521 ahli berbanding 75,579 ahli pada April tahun lalu.Dalam usaha membasmi kemiskinan, Kurup berkata PBRS mencadangkan peruntukan khas dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan penubuhan pasukan khas untuk mengambil tindakan konkrit dan lebih menyeluruh.
Parti itu turut menggesa satu jawatankuasa khas dibentuk untuk mengkaji pemberian biasiswa kerajaan dan pengambilan pekerja dalam perkhidmatan awam yang lebih adil bagi membolehkan lebih banyak anak Sabah mendapat peluang itu.-- BERNAMA

Perhimpunan Perwakilan PBRS ke-14 2009





Rabu, Disember 30, 2009

PBRS : Bertahan atau akan lenyap?

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup Isnin mengakui bahawa parti itu belum mencatat pencapaian yang membanggakan sejak ianya ditubuhkan 15 tahun lepas.

“Kita harus kaji kenapa ini berlaku. Kalau terus keadaan ini, kalau tiada tulang belakang untuk memajukan parti ini, maka parti ini akan lenyap.

“Setiap tahun kita adakan mesyuarat agung tahunan tapi kesan belum lagi kelihatan. Kita harus kaji kesilapan kita,” katanya ketika merasmikan perhimpunan perwakilan tahunan ke-14 pergerakan Pemuda dan Wanita PBRS di sini Isnin.

Kurup, yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, meminta anggota PBRS supaya mengkaji kelemahan dan kekurangan dalam parti itu, kerana jika tidak, PBRS akan lenyap pada masa depan.

Beliau berkata perbuatan berebut kuasa dalam parti juga mempunyai risiko tinggi untuk membawa kepada kemusnahan.

“Kalau ada orang mahu rampas kuasa, tidak dapat tunggu (hingga giliran), sebenarnya bukan saja boleh memecahbelahkan kita, tetapi juga melenyapkan parti,” katanya.

Kurup berkata memang secara semula jadi pemimpin akan melihat golongan muda sebagai pengganti mereka dan akan menyerahkan kepimpinan kepada orang muda pada masa yang sesuai.

“(Tetapi) dalam proses kita memilih pengganti juga kita mesti cari yang berkaliber, memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan berdisiplin, serta mempunyai pengalaman yang cukup. Dan pengalaman ini kita perolehi dari orang yang lama juga, itulah hakikatnya,” kata beliau.

-bernama

Perlawananan Bola Sepak anjuran Pemuda PBRS 2009















Selasa, Disember 08, 2009

Penerimaan Keahlian PBRS Kg Alab Lanas

Sabtu, 05/12/2009 satu majlis penerimaan borang keahlian Parti PBRS telah disempurakan oleh Timbalan Presiden PBRS YB Datuk Ellron Angin. Kemasukan ahli baru Parti PBRS tersebut telah diketuai oleh Pengerusi JKKK Kg Alab Lanas merangkap Ketua Pemuda PBRS Kg Alab Lanas. Kemasukan mereka ini adalah satu kejayaan bagi BN untuk memantapkan parti melalui parti-parti komponen. Turut bersama dalam majlis tersebut ialah PKR Sook Charles Ikang serta pemimpin lain.

by:rmn

Ahad, Disember 06, 2009

Persempadanan baru milik KDM?

Oleh: ROZIE JUMAT(Sabahkini.net)

PRESIDEN Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) , Tan Sri Joseph Kurup berkata, Kadazandusun-Murut (KDM) harus memberi sokongan yang kuat kepada parti yang sensitif kepada mereka.
Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, rakyat di sesuatu kawasan harus melihat keutamaan mereka dan memilih parti yang menghormati budaya serta agama yang selama ini sentiasa menjaga dan melindungi kepentingan rakyat .

Kurup memberi peringatan itu ketika berucap di majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Merapok di sini. Turut hadir sama Timbalan Presiden PBRS, Datuk Ellron Angin yang juga Wakil Rakyat Sook, Ketua Pemuda PBRS , Vincent Lee dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang.

Katanya, rakyat tidak seharusnya menyokong sesuatu parti hanya kerana parti tersebut dilihat sebagai parti yang besar dan berkuasa, tetapi kenyataannya PBRS adalah parti yang memperjuangkan pembangunan, menjaga dan melindungi budaya dan agama KDM.

Oleh itu katanya adalah tidak sesuai bagi anggota parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) untuk memberitahu bahawa kerusi baru dalam persempadan baru adalah milik mereka.

“Kita harus gunakan saluran yang betul untuk membincangkan kerusi-kerusi baru ini dan bagi saya kawasan baru ini harus diberikan kepada parti yang berasaskan KDM,” kata Kurup.

LUANG…. Kurup meluangkan masa dengan penduduk sebelum bertolak dari kampung itu.
Kurup yang juga Pengerusi BN Pensiangan berkata , tindakan (menuntut) itu adalah tidak munasabah kerana majoriti di kawasan yang terlibat dalam persempadana baru itu seperti Mukim Trans Pegalan dalam kawasan DUN Sook adalah KDM.

“Itu tidak setiakawan namanya tetapi seolah-olah menindas kepada parti yang selama ini berjuang di kawasan itu. Oleh itu kita harus membincangkannya secara keluarga,” kata Kurup.
Terdahulu Kurup turut membuat pemantauan jalan-jalan ke kebun milik penduduk di kampong itu serta melihat masalah perparitan.





LUANG MASA…Kurup menemui rakyat kawasan KDM

PBRS TERIMA AHLI DAN TAMBAHAN CAWANGAN BARU


TERIMA… Kurup menerima borang keahlian dari John Mondolok ke parti PBRS

Oleh: ROZIE JUMAT

PARTI Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) N.36 Kemabong menerima seramai 760 ahli baru dengan penambahan 24 cawangan baru dalam satu majlis penyerahan sempena Mesyuarat Tahunan parti itu di sini.

Mewakili ahli baru itu, John Mondolok berkata, mereka menyertai PBRS sebagai kesinambungan perjuangan politik dan memilih PBRS kerana parti itu merupakan sebuah parti yang memperjuangkan nasib-nasib kaum Bumiputera khususnya suku kaum Murut.

John yang menyerahkan borang kepada Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup yang merasmikan mesyuarat tahunan gabungan PBRS N.35 Melalap dan N.36 Kemabong berberkata, beliau dan penyokongnya telah membuat penelitian dan penilaian terhadap parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan menyedari PBRS adalah parti yang sesuai bagi mereka.

“Parti ini telah membuktikan keikhlasan dalam memperjuangkan nasib Bumiputera di negeri ini. Penyertaan saya ke dalam parti ini bukan kerana rasa kecewa pada parti lama, sebaliknya kerana demi meneruskan perjuangan ,” kata John.

Dalam pada itu Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup berkata, perjuangan PBRS adalah untuk memaju dan menjaga golongan Bumiputera seperti suku kuam Murut yang merupakan penduduk utama di kawasan pedalaman.

Link Within

Related Posts with Thumbnails