Rabu, Disember 30, 2009

PBRS : Bertahan atau akan lenyap?

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup Isnin mengakui bahawa parti itu belum mencatat pencapaian yang membanggakan sejak ianya ditubuhkan 15 tahun lepas.

“Kita harus kaji kenapa ini berlaku. Kalau terus keadaan ini, kalau tiada tulang belakang untuk memajukan parti ini, maka parti ini akan lenyap.

“Setiap tahun kita adakan mesyuarat agung tahunan tapi kesan belum lagi kelihatan. Kita harus kaji kesilapan kita,” katanya ketika merasmikan perhimpunan perwakilan tahunan ke-14 pergerakan Pemuda dan Wanita PBRS di sini Isnin.

Kurup, yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, meminta anggota PBRS supaya mengkaji kelemahan dan kekurangan dalam parti itu, kerana jika tidak, PBRS akan lenyap pada masa depan.

Beliau berkata perbuatan berebut kuasa dalam parti juga mempunyai risiko tinggi untuk membawa kepada kemusnahan.

“Kalau ada orang mahu rampas kuasa, tidak dapat tunggu (hingga giliran), sebenarnya bukan saja boleh memecahbelahkan kita, tetapi juga melenyapkan parti,” katanya.

Kurup berkata memang secara semula jadi pemimpin akan melihat golongan muda sebagai pengganti mereka dan akan menyerahkan kepimpinan kepada orang muda pada masa yang sesuai.

“(Tetapi) dalam proses kita memilih pengganti juga kita mesti cari yang berkaliber, memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan berdisiplin, serta mempunyai pengalaman yang cukup. Dan pengalaman ini kita perolehi dari orang yang lama juga, itulah hakikatnya,” kata beliau.

-bernama

1 ulasan:

  1. Cakap tidak serupa bikin, siapa yg merampas kuasa. hanya dua kerusi yang diwakili oleh PBRS iaitu N.37 Sook dan P.182 Pensiangan. Siapa yg mahu merebut kuasa sebenar dalam konteks ini? Bukankah Presiden sendiri yang merampas kuasa dari Datuk Bernard Maraat sebagai MP Pensiangan Satu ketika dulu.Inilah yg dikatakan meludah ke langit terkena muka sendiri. "Proses memilih penganti mesti yg berkaliber" ini hanya retorik sahaja menyedapkan hati ahli-ahli PBRS. Apa yg berlaku sebenarnya jauh dari kenyataannya. datuk Bernard ketika menjadi YB merupakan seorang pemimpin yg berkaliber dan mempunyai semangat juang yg tinggi untuk membantu rakyat tetapi mengapa beliau digugurkan sedangkan rakyat masih memerlukan khidmatnya. Kenyataan Tan Sri yg tidak konsisten menampakkan beliau semakin tua dan nyanyuk. Sebenarnya beliaulah yg perlu undur diri dalam arena politik kerana khidmat beliau sebagai wakil rakyat tidak lg diperlukan oleh rakyat. Inilah masanya untuk Tan Sri berehat, cukuplah harta yg dikumpul selama Tan Sri menjadi wakil rakyat, beri peluang kepada muka baru. Jgn biarkan PBRS lenyap di muka bumi sook, disebabkan oleh kepimpinan Tan Sri yg semakin tidak mendapat sokongan rakyat. Tinggalkan jasa Tan Sri dalam parti ini dgn nama baik dan disanjungi oleh rakyat. Sebelum sesuatu yg mengaibkan Tan Sri berlaku lebih baik ambil keputusan berfikirlah bermula dari sekarang. Ingat kemenangan Tan Sri PRU lalu bukan kerana sokongan rakyat tetapi disebabkan keputusan mahkamah yang berat sebelah dan tidak ADIL. Fikir-fikirkanlah.........

    BalasPadam

Link Within

Related Posts with Thumbnails