PAPAR: ‘Orang kuat’ Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Bahagian Papar bersama-sama ahli hampir 200 orang hari ini mengisytiharkan diri keluar dari parti itu dan menyertai Parti Umno.Mereka yang keluar itu terdiri daripada Setiausaha PKR Bahagian, Awang Mumin Awang Marali dan Ketua Pergerakan Pemuda PKR Bahagian yang juga merupakan Setiausaha Pergerakan Pemuda PKR Negeri, Faizal Julaili.
Kedua-dua ‘orang kuat’ itu merupakan jentera utama PKR di Bahagian Papar menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Umno Bahagian Papar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Manis, Datuk Haji Abdul Rahim Ismail di dua majlis yang berbeza.
Kemasukan mereka ke dalam Umno juga disambut gembira oleh masyarakat setempat khususnya penduduk Kampung Buang Sayang dan Kampung Benoni.
Awang Mumin dan Faizal seterusnya berikrar akan taat setia kepada Barisan Nasional yang ditunjangi Umno dan bersedia untuk membantu parti itu menghadapi pilihanraya akan datang.Abdul Rahim berkata, rakyat khususnya pembangkang kini mulai sedar dan menaruh keyakinan yang tinggi terhadap perintahan Barisan Nasional (BN) dan Umno.
Ini kerana katanya, mereka yakin hanya dengan BN sahaja akan dapat menjamin kestabilan pembangunan, ekonomi dan politik di Sabah.
Katanya, perubahan dan pendekatan yang dilakukan oleh Umno dibawah kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak juga membuktikan parti itu sentiasa mengutamakan rakyat di akar umbi.
“Penduduk Sabah kini meletakkan harapan tinggi kepada BN dan Umno untuk mengembalikan kegemilangan ekonomi dan mengukuhkan kestabilan politik.
“Menyokong pembangkang bukanlah pilihan terbaik bagi rakyat Sabah kerana ini hanya membantut segala usaha dan pembangunan sosio-ekonomi yang telah, sedang dan akan dilaksakankan kerajaan BN.“Mereka juga yakin hanya dengan menyokong dan mempertahankan pemerintahan BN yang diterajui UMNO, agenda pembangunan dapat dimanfaat oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis silaturahim dan ramah mesra sempena perasmian Cawangan Umno Kampung Buang Sayang 3 di Kampung Buang Sayang di sini. Abdul Rahim, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, keberkesanan Umno sebagai tulang belakang Kerajaan BN adalah disebabkan kebijaksanaan pucuk pimpinan parti itu menterjemah dasar dan perjuangan parti mengikut keperluan semasa.“Sebab itulah Umno mendapat tempat di Sabah, khususnya di kalangan Bumiputera, kerana dasar-dasar perjuangan parti itu sentiasa praktikal dan ralevan,” katanya.
Menurutnya lagi, anggota parti itu juga patut mengambil iktibar daripada sejarah politik Sabah, yang menurutnya penuh dengan ‘kejutan-kejutan’ yang ‘dramatik’ dan kadangkala menyusahkan rakyat Sabah sendiri.
“Saya sendiri pernah merasai hidup sebagai pembangkang (semasa menyertai Usno sesudah parti itu hilang kuasa) dan masa itu maruah kita selalu dipersoalkan orang lain.“Justeru, saya lihat pendekatan Umno dari segi perkongsian kuasa sangat sesuai dan praktikal, terutama sekali bagi penduduk yang berbilang kaum dan agama di Sabah,” katanya.
Katanya, walaupun Umno pada hakikatnya boleh memerintah dengan kekuatan sendiri, namum dasar parti itu lebih mengutamakan semangat memelihara kepentingan semua kaum.
“Sebab itulah parti-parti minoriti yang menganggotai pakatan BN di Sabah diberi tempat dan kedudukan,” katanya.
Beliau seterusnya mengajak ahli-ahli Umno agar mempertahankan kuasa yang dimiliki kini bagi menjamin pembangunan yang berterusan.
Hadir sama, Naib Ketua Bahagian, Juil Nuatim, Ketua Pergerakan Wanita Bahagian, Datin Dayangku Ainun Pengiran Bagul, Setiausaha Umno Bahagian, Abdillah Imran, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Rosli Ibrahim dan ahli-ahli jawatankuasa Umno Bahagian Papar.
Sumber: New Sabah Times
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan